Enam juta kenderaan masuk KL setiap hari

PUTRAJAYA 19 Mei –  Sebanyak enam juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap hari, yang menjadi punca utama aliran trafik di ibu negara sesak teruk, khususnya ketika waktu puncak, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, jumlah itu bersamaan dengan 85 peratus pengguna jalan raya yang bergantung penuh pada kenderaan sendiri, berbanding hanya 15 peratus atau sekitar sejuta penumpang yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari.

Katanya, kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati terdapat purata enam juta kenderaan bergerak dalam Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam, tidak termasuk lagi kawasan sekitar seperti Petaling Jaya dan di Selangor.

“Jadi kita boleh bayangkan betapa teruknya kesesakan di Kuala Lumpur. Pada waktu puncak sebelah pagi antara jam 6 hingga 9 pagi, ada 2.2 juta kenderaan masuk ke Kuala Lumpur,” katanya selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesesakan Jalan Raya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menambah pelaksanaan laluan kontra di tiga lokasi di ibu negara bermula minggu pertama Julai ini, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek yang boleh dilaksanakan segera bagi mengurangkan kesesakan berkenaan.

Menurut Loke, mesyuarat selama dua jam 30 minit yang memberi fokus pada penyelesaian jangka pendek, bersetuju melaksanakan tiga langkah mitigasi, iaitu tambahan laluan kontra di tiga laluan bermula 3 Julai ini.

Katanya, laluan kontra pertama adalah di laluan selepas tol PLUS Sungai Besi menuju ke persimpangan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) sejauh 2.4 kilometer (km) untuk kenderaan dari selatan yang masuk ke Kuala Lumpur.

Mitigasi kedua, katanya, membabitkan pemanjangan laluan kontra dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught sejauh 4 km. Kedua-dua laluan kontra itu dibuka kepada semua kenderaan, kecuali motosikal.

“Ketiga adalah membuka satu laluan kontra di Jalan Ampang, iaitu dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak sejauh 3 km, yang hanya dibenarkan untuk bas. Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika kenderaan lain masuk laluan kontra ini.

“Pelaksanaan laluan kontra ini bermakna satu lagi lorong ditambah, sekali gus dapat mengurangkan beban yang ditanggung laluan sedia ada,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesesakan Jalan Raya juga memutuskan supaya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) merangka satu garis panduan berhubung pelaksanaan laluan kontra.

Selain itu,  pihaknya turut meminta DBKL untuk tidak mudah meluluskan permohonan lanjutan tempoh penutupan jalan kepada pemaju projek pembangunan di ibu negara, bagi mengatasi isu kesesakan akibat penutupan jalan.

Katanya, ketika ini ada tujuh projek pembangunan yang sedang berjalan di ibu negara, yang memerlukan penutupan jalan raya.

“Kebiasaannya tempoh penutupan yang diberikan adalah antara tiga hingga enam bulan, tapi ada pemaju atau pelaksana projek yang minta dilanjutkan kerana kerja belum selesai selepas tempoh itu tamat,” katanya.

Bagaimanapun Loke meminta DBKL tidak sewenang-wenangnya memberikan lanjutan tempoh penutupan jalan sebaliknya kontraktor perlulah menanggung kos tambahan sendiri sekiranya kerja tidak siap.

Related posts

Leave a Comment