3 produk makanan bayi ditarik balik

SINGAPURA 16 Mei – Tiga produk makanan bayi ditarik balik setelah ia didapati mengandungi lebih daripada had maksimum arsenik yang ditetapkan oleh Peraturan Makanan Singapura.

Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan  tiga produk itu adalah  ‘Wen’s Baby Cereal Puree Whitebait and Pumpkin’, ‘Wen’s Baby Cereal Puree Whitebait and Purple Sweet Potato’ dan ‘Holle Organic Wholegrain Cereal Rice’.

Menurut kenyataan SFA semalam, ‘Wen’s Baby Cereal Puree’ keluaran Singapura mempunyai tarikh luput 15 September 2023, manakala ‘Holle Organic Wholegrain Cereal Rice’ dari Jerman dengan tarikh guna sebelum 20 Januari 2024.

Berikutan itu, SFA mengarahkan pengeluar Naoki Trading dan pengedar Chadil untuk menarik balik bekalan produk yang terjejas.

Arsenik adalah bahan logam berat yang terdapat secara semula jadi di kerak bumi dan di alam sekitar.

Pengambilan arsenik dalam jangka panjang boleh menyebabkan barah dan perubahan pada kulit, justeru pendedahan menerusi makanan, terutama sekali yang dikhususkan untuk kanak-kanak kecil, seharusnya pada kadar serendah mungkin.

Menurut SFA, tahap arsenik dalam makanan bayi tidak seharusnya melebihi had maksimum 0.1ppm.

“Bagi membendung pendedahan kepada arsenik, pengguna dinasihati supaya memberi bayi mereka diet yang seimbang dengan pelbagai pilihan makanan,” kata kenyataan itu.

Pengguna yang telah membeli produk terbabit, dinasihatkan tidak memberikannya kepada anak mereka dan bagi yang sudah memakan produk tersebut dan bimbang mengenai kesihatan anak-anak mereka, patut berjumpa dengan doktor.

Related posts

Leave a Comment