Cacar monyet bukan lagi kecemasan kesihatan

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet bukan lagi kecemasan kesihatan awam antarabangsa, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau mengisytiharkan tamatnya status kecemasan bagi penyakit itu berdasarkan saranan jawatankuasa kecemasan organisasi berkenaan yang bermesyuarat pada Rabu.

Tindakan itu memberi isyarat bahawa krisis akibat cacar monyet yang merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan dan menyebabkan simptom seperti selesema dan lesi kulit yang dipenuhi nanah, telah terkawal.

Sebelum ini WHO turut menamatkan status kecemasan kesihatan awam untuk pandemik Covid-19.

“Walaupun kecemasan cacar monyet dan Covid-19 kedua-duanya telah berakhir, ancaman gelombang kebangkitan kekal untuk kedua-duanya. Kedua-dua virus terus beredar dan kedua-duanya terus membunuh,” kata Tedros.

WHO mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa pada Julai 2022.

Status itu dibuat bagi mewujudkan maklum balas yang diselaraskan dan membuka peluang pembiayaan untuk bekerjasama dalam perkongsian vaksin dan rawatan di peringkat antarabangsa.

Menurut laporan terbaru WHO, lebih 87,000 kes cacar monyet direkodkan di seluruh dunia sejak awal 2022 hingga 8 Mei tahun ini.

Sebelum ini, WHO mencatatkan penurunan jumlah kes cacar monyet secara berterusan dalam jumlah dan menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan peningkatan semula kes berkenaan di beberapa kawasan dan penularan berterusan di beberapa negara.

Related posts

Leave a Comment