Galak tubuh koperasi masjid

IPOH 10 Mei – Kerajaan Negeri Perak menggalakkan pengurusan masjid di negeri itu menubuhkan koperasi sendiri untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan, kata Menteri Besar, Saarani Mohamad.

Beliau berkata kewujudan koperasi di sesebuah masjid dapat memberi manfaat kepada ahli kariah masjid berkenaan seperti melalui pembayaran dividen hasil keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan.

Katanya, apabila koperasi ditubuhkan, sekurang-kurangnya pihak pengurusan masjid boleh membuka kedai runcit di dalam kawasan masjid.

“Sebagai contoh Masjid Nurussalam Batu 4 di Gerik yang membuka pasar mini menjual barangan keperluan harian dan medapat keuntungan seterusnya boleh mengeluarkan dividen kepada ahli koperasi,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2023 di sini malam tadi.

Saarani dalam ucapannya turut mengumumkan insentif penghargaan berjumlah RM33,000 kepada 11 koperasi tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik di Malaysia bagi 2022.

Menurutnya, insentif itu sebagai menghargai sumbangan koperasi berkenaan kepada peningkatan sosioekonomi ahli koperasi di negeri ini.

Koperasi juga digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti pertanian dan industri asas tani bagi membantu kerajaan negeri memastikan bekalan makanan negara terus stabil dan boleh diperoleh dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan sekuriti makanan sebagai agenda utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memastikan rakyat dibekalkan dengan keperluan makanan yang bukan sahaja mencukupi tetapi juga dijual dengan harga yang berpatutan.

(Foto Pejabat SUK Perak)

Related posts

Leave a Comment