UNHCR perlu AS$445 juta bantu pelarian

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerlukan peruntukan sebanyak AS$445 juta sehingga Oktober untuk membantu kira-kira 860,000 orang yang dijangka melarikan diri dari Sudan.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam kenyataan berkata, ia sudah membentangkan rayuannya kepada negara-negara penderma awal Khamis.

Dana itu akan disalurkan kepada para penduduk yang melarikan diri ke Chad, Sudan Selatan, Mesir, Habsyah dan Republik Afrika Tengah.

Lebih 100,000 orang melarikan diri dari Sudan sejak pertempuran tercetus pada 15 April antara pemimpin Sudan Abdel Fattah al-Burhan yang menerajui angkatan tentera negara itu dan timbalannya yang kini seterunya, Mohamed Hamdan Daglo, yang mengetuai Rapid Support Forces (RSF).

Situasi dijangka semakin memburuk di mana menurut perangkaan PBB ketika ini, sebanyak 330,000 orang di Sudan kehilangan tempat tinggal,

“Kami sangat memerlukan dana dan perlu bertindak balas kepada keperluan yang semakin meningkat,” kata Raouf Mazou, Ketua Operasi Bantuan Agensi PBB dalam kenyataannya.

Beliau mengingatkan terdapat pelbagai keperluan dan cabaran dan jika krisis ini berlarutan, kedamaian dan kestabilan serantau mungkin tergugat.

UNHCR menyatakan, pelan tindak balasnya bagi krisis pelarian itu digerakkan dengan kerjasama 134 rakan, termasuk agensi PBB lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negeri dan antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment