BN ulangi sokongan kepada Anwar

KUALA LUMPUR 5 Mei – Barisan Nasional (BN) hari ini mengulangi penegasan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung BN, Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara yang aman dan stabil, dipimpin oleh Perdana Menteri yang disepakati oleh semua parti yang membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan.

Justeru BN menyeru kepada semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan.

“Sesungguhnya negara mendambakan sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks,” kata Zambry dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Luar berkata, Malaysia perlu muncul semula di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa.

“Justeru asas kestabilan perlu dipertahankan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pelbagai spekulasi terkini yang cuba dimainkan melalui media sosial oleh kalangan tertentu yang disifatkan kehilangan kompas politik kestabilan melalui usaha ancaman dan gugatan yang bertujuan melihat negara terus berantakan.

Related posts

Leave a Comment