10 ADUN nafi laporan sekat Kon Yeow KM

TANJONG 3 Mei – Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP, tampil menafikan laporan berhubung desakan dan usaha menyekat Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Kesemua mereka terdiri daripada ADUN Pulau Pinang yang tidak memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Mereka diketuai ADUN Air Putih, Lim Guan Eng yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan; Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Jason H’ng Mooi Lye (Jawi); Heng Lee Lee (Berapit); Ong Ah Teong (Batu Lancang); Daniel Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota).

Turut sana Satees Muniandy (Bagan Dalam); Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

Dalam kenyataan bersama, mereka menegaskan tidak pernah bercakap dengan portal berita berkenaan, selain menyifatkan artikel bertajuk “Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P.Pinang” yang disiarkan itu berniat jahat.

Menurut mereka, laporan itu bersikap tidak adil apabila tidak menyebut nama tiga ADUN yang dikaitkan dengan desakan berkenaan, sekali gus meletakkan kesemua mereka di bawah syak wasangka awam yang tidak perlu.

“Ia sekali gus meletakkan kesemua 10 ADUN biasa dari Pulau Pinang di bawah syak wasangka awam yang tidak perlu, serta untuk mengaitkan laporan tiga ADUN itu kepada mana-mana daripada kami adalah tidak benar dan palsu.

Oleh itu, kami tidak dapat memastikan dari mana portal berita berkenaan mendapat maklumat yang tidak berasas ini,” kata kenyataan tersebut.

Kumpulan ADUN itu menegaskan, mereka akan menghormati keputusan parti berhubung pencalonan kerusi dan jawatan yang ditetapkan parti.

Mereka turut menegaskan, tidak akan diheret ke dalam sebarang percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memecah belah dan mengalih objektif mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan Pulau Pinang bertambah baik.

“Memenangi PRN akan datang adalah penting untuk memakmurkan Pulau Pinang dan mengukuhkan kestabilan politik serta mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya untuk lima tahun akan datang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment