Kelulusan EIA PSI bukan muktamad

SUNGAI BULOH 28 April – Kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bukan keputusan muktamad membenarkan aktiviti tambakan di lokasi dicadangkan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga menafikan dakwaan enggan ‘melayan’ kekecewaan golongan nelayan dan penduduk setempat yang dijangka terjejas susulan pelaksanaan Projek PSI.

“Keputusan EIA (PSI), JAS memberi kelulusan pada prinsipnya dengan 71 syarat. Jadi kita telitilah.

“Saya sudah kemukakan beberapa kebimbangan, terutama (bagi) pihak nelayan dan penduduk setempat yang berbilang kaum dan biarkan proses ini berjalan terlebih dahulu.

“Kalau mereka (nelayan dan penduduk setempat) mahu kemukakan bantahan, kita akan dengar dan kerajaan negeri juga akan berikan penjelasan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum itu Anwar diiringi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyantuni ribuan ahli kariah Kampung Kubu Gajah, selain mendirikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, dekat Paya Jaras, Selangor.

Projek kontroversi itu melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA diluluskan pada 25 Jun 2019, tetapi terdapat rayuan sehingga keputusan itu dibatalkan. Laporan baharu diserahkan pada 29 April 2022.

PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas dan dibantah komuniti nelayan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Pulau Pinang kerana didakwa akan merosakkan ekosistem marin di situ.

Sementara itu, Anwar menyangkal kritikan kumpulan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang menyifatkan beliau sebagai Perdana Menteri paling teruk jika gagal menunaikan janji reformasi dibuat Pakatan Harapan (PH) selama ini.

Sebaliknya, Anwar menasihati Suaram supaya lebih objektif dalam melontarkan kritikan, selain perlu mengambil kira setiap pencapaian kerajaan diterajuinya biarpun baru berusia empat bulan.

Presiden PKR itu berkata, penting bagi kerajaan untuk mengelak daripada melakukan ‘kesilapan politik’ dalam usaha memenuhi tuntutan reformasi diketengahkan PH, sebelum ini.

“Kita sudah pun meminda peruntukan berkaitan hukuman gantung mandatori yang pada saya ia adalah pencapaian besar. Kita tak boleh ubah perundangan negara sekali gus dalam tempoh empat bulan. Kita komited melaksanakan agenda hak asasi manusia, tetapi perlu beri masa secukupnya.

“Kita sudah melihat kesilapan yang dibuat dengan ICERD (Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” katanya.

Related posts

Leave a Comment