KOTA BHARU 27 April – Pasangan suami isteri berusia 16 dan 17 tahun ditahan hari ini selepas tular aksi ‘wheelie’ yang dilakukan di Jalan Pasir Puteh, Peringat, di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pasangan itu menyerah diri pada pukul 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Sebelum itu pasangan terbabit bertindak menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis.
“Mereka kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, tidak lebih daripada RM15,000.
