SEJAK kebelakangan ini kecoh juga isu tarikh Hari Raya Aidilfitri. Ramalan dibuat mengenai jumlah hari puasa seterusnya hari raya. Ramai yang tertanya-tanya adakah akan terjadi seperti sebelum ini apabila kita berhari raya secara ‘mengejut’?
Mungkin disebabkan kejutan itu ramai yang lebih bersedia tahun ini. Bersedia untuk menyusun hari balik kampung bagi mengelakkan kesesakan dan membuat persediaan juadah ketupat, lemang, rendang dan pelbagai lagi.
Namun di sebalik persediaan menyambut Aidilfitri, berapa ramai yang berminat untuk ambil peduli bilakah kemunculan Malam Lailatulqadar? Berapa ramai yang sudah bersedia untuk mencari bilakah Lailatulqadar?
Ketika memasuki fasa ketiga atau 10 malam terakhir Ramadhan, adakah masih ramai yang semakin ghairah beribadah sebagai persiapan mencari Lailatulqadar atau ramai yang sudah bersiap-siap untuk menyambut kedatangan Aidilfitri?
Tarikan mana yang lebih kuat? Adakah bacaan imam yang sedang mengimamkan solat Tarawih masih mampu menggamit kehadiran jemaah atau tawaran hari raya dengan lagu-lagu raya di pusat beli-belah dan sebagainya lebih kuat tarikannya?
Fasa pertama, sudah lama berlalu dan 10 malam fasa kedua menghampiri penghujungnya dan ini akan diikuti fasa ketiga atau 10 malam terakhir. Sejauh mana keghairahan atau persiapan kita untuk mengisi malam-malam terakhir Ramadhan?
Adakah 10 malam terakhir, yang antaranya akan muncul malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan, ruang masjid dan surau semakin berkurang? Adakah 10 malam terakhir dihabiskan dengan aktiviti persiapan Aidilfitri?
Adakah semakin lentur ibadah kita pada fasa terakhir ini kerana sibuk membuat persiapan Aidilfitri dan sebagainya?
Berbaki 10 hari ini, ambillah peluang yang masih ada. Manfaatkan malam-malam ganjil bermula 21, 23, 25, 27, 29 dengan menggandakan ibadah kita. Kesungguhan kita harus berbeza dengan malam-malam lain.
Sabda Rasulullah SAW : “Carilah kalian Lailatulqadar itu pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan,” – Riwayat al-Bukhari (2017)
Justeru pecutlah untuk mengejar ganjaran pahala yang ditawarkan. Selesaikan saki baki Ramadan ini dengan khatam al-Quran. Jika sudah khatam Alhamdulillah. Jika belum pecutlah secara berhemah supaya ‘sampai destinasi dengan selamat’.
Insaflah, ketika kita diizinkan untuk memasuki fasa terakhir, ada sahabat, saudara mara, kenalan dan jiran kita hanya sempat berada di fasa pertama atau kedua. Mereka lebih awal dijemput Ilahi sebelum Ramadhan berakhir atau tibanya hari raya.
Manfaatkanlah 10 malam terakhir ini, ibarat mencari peluang membuat pelaburan yang hasilnya tetap terjamin, bukan sekadar dividen atau bonus.
Hidupkan malam-malam terakhir ini dengan menggandakan amalan seperti solat sunat, tarawih, witir, solat taubat, tahajud, istigfar, selawat, membaca al Quran atau surah pilihan seperti al-Mulk, al-Waqiah di samping sedekah dan infak serta zikir.
Ketika ini, amat mudah untuk sedekah dan infak. Setiap malam kita boleh menyumbang tanpa perlu ke masjid atau surau atau mencari orang yang memerlukan kerana melalui atas talian, ada sahaja peluang untuk infak.
Ingatlah andai kita tidak ‘diketemukan’ dengan Lailatulqadar, sekurang-kurangnya dengan pengisian aktiviti ibadah itu ganjarannya pasti ada kerana kita sudah beramal pada malam-malam berkenaan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Riwayat Muslim)
Ayuh rebutlah peluang keemasan yang disediakan Allah SWT. Carilah, rebutlah dan manfaatkan 10 malam terakhir ini sebaiknya supaya tidak menyesal di kemudian hari, apatah lagi kita belum pasti berpeluang bertemu Ramadan tahun hadapan.
Berpeganglah kepada janji Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud : “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan,” (al-Qadr (3)).
