JAKARTA 1 April – Lebih 700,000 kes tuberkulosis (TB) atau tibi dikesan di Indonesia pada 2022, yang tertinggi dalam rekod negara itu, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Mohammad Syahril.
Beliau berkata purata penemuan kes tibi setiap tahun di republik itu sebelum 2022 adalah sekitar 50 hingga 60 peratus atau antara 500,000 hingga 600,000 kes.
Indonesia menduduki tempat kedua selepas India yang merekodkan anggaran 969,000 kes dengan 93,000 kematian setiap tahun atau bersamaan 11 kematian bagi setiap sejam.
Menurut Laporan TB Global, pada 2022, batuk kering paling kerap menjejaskan populasi umur produktif, terutama mereka dalam kelompok umur 25 hingga 34 tahun.
Di Indonesia, kes tibi paling kerap dialami mereka yang berumur 45 hingga 54 tahun dan jumlah kes tibi di Indonesia adalah yang tertinggi sejak penyakit paru-paru itu menjadi keutamaan negara.
Syahri dilaporkan berkata, pengesanan tertinggi kes tibi adalah hasil komitmen kerajaan dan pengawasan lebih intensif.
“Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin menggesa semua pegawai kesihatan supaya mengutamakan pencarian pesakit tibi supaya 90 peratus daripada angka itu dapat dikesan menjelang 2024,” katanya.
Kementerian mewujudkan protokol baharu dan bekerjasama dengan pelbagai persatuan dan organisasi profesional, termasuk menggalakkan pengagihan Dana Global ke wilayah, daerah dan bandar untuk merealisasikan lebih cepat.
