6 subjek perlu tambahan guru

KUALA LUMPUR 30 Mac – Enam mata pelajaran teras memerlukan tambahan bilangan guru di sekolah setakat 28 Februari lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Mata pelajaran itu adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni Visual serta Sejarah.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan pengambilan 22,327 guru melalui kaedah one-off dan kluster mata pelajaran bagi tempoh 2021 hingga Januari 2023.

“Bagaimanapun, kita ada perancangan untuk melakukan pengambilan guru pada April hingga Jun ini, kita akan ambil guru dari universiti luar,” katanya menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik).

Ahmad Tarmizi bertanyakan mengenai kekurangan guru sekolah bagi subjek pendidikan teras dan perancangan KPM bagi meningkatkan pengambilan jumlah guru baharu.

Sementara itu, Hui Ying berkata pengambilan guru adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran semasa.

“Jadi mungkin ada sesetengah graduan yang tidak dapat menjadi guru, tidak dipanggil temu duga, ini adalah disebabkan opsyen (mata pelajaran) itu berlainan dengan apa kita perlukan di KPM,” katanya.

Related posts

Leave a Comment