KUALA LUMPUR 27 Mac – Gara-gara gagal menjawab soalan lisan, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Lim Hui Ying untuk meletakkan jawatan.
Desakan itu dibuat susulan dakwaan beliau yang Hui Ying gagal menjawab soalan ke-16 yang dikemukakannya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, sepanjang penglibatannya dalam sidang Parlimen, beliau tidak pernah melihat perkara itu berlaku dan mendakwa Timbalan Menteri itu tidak kompeten kerana gagal menjawab soalan
“Ini adalah pernyataan tegas untuk Timbalan Menteri yang tidak kompeten seperti ini (untuk) meletakkan jawatan.
“Apa fungsi Timbalan Menteri kalau nak jawab soalan yang dah ada pun tak bersedia? Apa fungsinya sebagai Timbalan Menteri, dia kata tak bawa jawapan, jadi dia datang Parlimen untuk apa?
Tadi dia menyokong untuk menangguhkan Dewan pada masa sekian-sekian…Takkan datang untuk sokong usul tangguh Dewan sahaja?
“Itu bukan tanggungjawab signifikan untuk seorang Timbalan Menteri,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini.
Beliau mendakwa tindakan tidak dapat menjawab dan menyediakan jawapan merupakan satu pembaziran wang kerajaan kerana menggajikan seorang timbalan menteri yang tidak melaksanakan tugasnya.
Terdahulu, kegagalan Hui Ying menjawab soalan turut ditegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu selepas Ahmad Marzuk bangkit bertanyakan soalan nombor 16 kepada Kementerian Pendidikan.
Tegasnya, situasi tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan.
“Yang Berhormat (Timbalan) Menteri, perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Saya berharap pihak kerajaan, ketua majlis ambil maklum tentang perkara ini. Ia memberikan satu senario yang tidak baik kepada kerajaan,” katanya.
Hui Ying kemudian meminta maaf dan berjanji perkara seperti ini tidak berulang lagi.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bangkit mempersoalkan kenyataan Hui Ying yang berkata beliau tidak menyediakan jawapan kepada soalan yang dikemukakan dan meminta untuk memberikan jawapan bertulis.
Ronald berkata, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam Dewan Rakyat kerana soalan itu sudah lama diberikan.
“Yang berhormat (Timbalan) Speaker, ini tidak sepatutnya berlaku dalam dewan. Soalan ini sudah lama dikemukakan. (Timbalan) Menteri mesti sediakan jawapan,” katanya.
