KUALA LUMPUR 27 Mac – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini mengemukakan satu usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul bagi meminta penjelasan pihak kerajaan susulan lawatan rasmi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke Arab Saudi.
Usul yang dikemukakan itu antara lain untuk mendapatkan penjelasan kerajaan berkenaan status kuota tambahan jemaah haji sebanyak 10,000 dan penambahan barang dagangan minyak sawit berjumlah 500,000 ton bernilai RM1 bilion yang sudah diperoleh sebelum ini.
Katanya, usul itu perlu disegerakan memandangkan lawatan Perdana Menteri yang dilihat dingin dan kurang berimpak akan memberi risiko kepada perdagangan dua hala serta hubungan diplomatik Malaysia-Arab Saudi seperti yang sudah disepakati pada Mac 2021.
“Ini kerana bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sudah berjaya mendapat persetujuan daripada Kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji sebanyak 10,000 jemaah dan peningkatan eksport minyak kelapa sawit ke Arab Saudi berjumlah 500,000 ton yang nilainya mencecah RM1 bilion,” katanya.
Anwar mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi berakhir Jumaat lalu atas jemputan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Kunjungan itu adalah lawatan rasmi sulung beliau ke Arab Saudi selepas menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10. Bagaimanapun Anwar gagal bertemu pemimpin utama negara itu.
Anwar pula menjelaskan sebelum berangkat pulang, kerajaan Arab Saudi juga memohon agar beliau melanjutkan lawatan ini bagi membolehkan beberapa pertemuan dengan pimpinan lain dilakukan.
Bagaimanapun atas kekangan waktu dan jadual yang agak padat, beliau harus pulang ke ibu negara.
Sementara itu, pada sidang media di bangunan Parlimen, Wan Ahmad Fayhsal mempertikaikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kerana tergesa-gesa merancang lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi baru-baru ini.
Katanya, lawatan rasmi itu disifatkan memalukan Malaysia dan Arab Saudi kerana kegagalan Anwar bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.
Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turut mempersoalkan adakah pemimpin tertinggi Arab Saudi enggan bertemu dengan Anwar.
“Apakah benar kerajaan Arab Saudi tidak mahu bertemu Perdana Menteri… sebab kalau lihat laporan media agensi di Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota, semuanya ada di Jeddah ketika Perdana Menteri hadir pada waktu itu.
“Mereka bukan di luar negara, ini timbulkan persoalan. Apakah hubungan Malaysia dan Arab Saudi jadi dingin?
Mungkinkan kerana penutupan King Salman Centre For International Peace ketika zaman Pakatan Harapan dulu? Ini membimbangkan kita,” kata Ketua Pemuda Armada Bersatu itu.
Justeru, beliau menuntut penjelasan daripada kerajaan dan berharap Perdana Menteri menjawab persoalan itu dalam Dewan Rakyat esok, Selasa dalam sesi soal jawab bersama Perdana Menteri.
Tegasnya, beliau dan rakan-rakannya akan berada di dalam dewan esok bagi mendengar penjelasan tersebut yang beliau sifatkan insiden memalukan negara.
