6 produk mengandungi racun berjadual

KUALA LUMPUR 22 Mac – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi enam produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata produk berkenaan ialah Flashhskinzz Moist Sunscreen, Serene Treatment Cream, Tempias Hawa Master Recovery Skin Rskin dan Karisma Preventing Day Cream, yang masing-masing mengandungi merkuri.

Dua lagi produk kosmetik yang terbabit ialah SL Two Kunyit yang mengandungi merkuri dan Betamethasone 17- Valerate dan SL Two Sarang Burung(Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate).

Beliau dalam satu kenyataan berkata, merkuri yang dilarang dalam produk kosmetik boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau janin.

Katanya, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17- valerate, adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, hydroquinoneboleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Bagi orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan, mereka dinasihatkan menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Related posts

Leave a Comment