Pas bantah acara Thai Hot Guy

KUALA LUMPUR 22 Mac – Pas amat kesal dan membantah penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar di ibu negara yang bakal menampilkan persembahan ‘Thai Hot Guy’ sebagai tarikan utama yang didakwa sebagai mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas.

Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan, berkata bantahan itu atas dasar ia adalah keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan.

Menurut Takiyuddin, makluman mengenainya di akaun Facebook bar itu menyatakan acara itu dijadualkan pada 30 Mac bermula pukul 6 petang dan terhad kepada 250 pengunjung, akan menampilkan persembahan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita.

“Jelas sekali acara itu mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam bahasa Cina berserta terjemahan Inggeris.

“Ia turut disertakan gambar aksi mencolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka.

Pas menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang jelas berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, apatah lagi diadakan pada Ramadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu juga tidak mendukung cita-cita negara mewujudkan masyarakat bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama.

Takiyuddin menegaskan kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti itu.

“Semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat tidak terdedah kepada budaya merosakkan dan tidak membina seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu Pas juga kesal apabila nama bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar.

“Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara.

Agensi pendaftaran syarikat juga perlulah lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenang- wenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran,” katanya.

Related posts

Leave a Comment