KUALA LUMPUR 20 Mac – Mulai Rabu ini, Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran kepada 31,600 jemaah yang terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Amrin Awaluddin, berkata ia akan diedarkan secara berperingkat dan jemaah juga boleh menyemak melalui aplikasi THiJARI mulai 22 Mac ini.
Bagaimanapun dalam kes tertentu, jemaah boleh terus mengunjungi mana-mana cawangan berdekatan.
Katanya, jemaah yang menerima tawaran itu perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat berkenaan dalam tempoh tujuh hari bekerja.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji TH, Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata TH mengutamakan bakal haji yang terkandas disebabkan pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021, diikuti yang dijadualkan menunaikan ibadat itu pada 2022 dan 2023.
Katanya, surat tawaran berkenaan dikeluarkan mengikut tiga kategori jemaah muassasah yang ditetapkan.
TH mengutamakan bakal haji yang terkandas disebabkan pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021, diikuti jemaah yang dijadualkan menunaikan ibadat itu pada 2022 dan 2023.
Bagi jemaah dari kategori B40, ia mewakili 50 peratus daripada keseluruhan jemaah musim haji kali ini manakala jemaah dalam kategori M40 mewakili 48 peratus dan dua peratus lagi jemaah kelompok T20.
Amrin berkata, TH menggalakkan jemaah yang berkemampuan supaya membuat bayaran penuh.
“Anggaran kita, dalam tempoh lima tahun akan datang, TH akan tanggung RM 2.71 bilion (bantuan kewangan haji) kerana kos naik mendadak.
“Lebih tinggi kos (bantuan kewangan) perlu ditanggung jika kita tidak ‘pass’ kos ini kepada jemaah, ,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu, sejumlah 47 jemaah yang layak menerima bantuan kewangan haji termasuk kelompok B40 memilih melakukan bayaran penuh.
“Ada termasuk jemaah B40 sukarela tampil untuk bayar penuh…mereka juga kata mahukan haji yang mabrur. Jadi kita seru jika ada yang mampu.. supaya lebih ramai buat bayaran penuh,” katanya
Katanya, TH sedia berunding dengan jemaah yang ingin membayar kos tambahan mengikut kadar tertentu termasuk mungkin lebih rendah berbanding jumlah asal.
