SOP mula dipandang ringan

PUTRAJAYA 30 Nov. – Trend peningkatan kewujudan kluster baharu Minggu Epidemiologi (ME) ke-47 dalam semua kategori kecuali tempat kerja dan import adalah amat membimbangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu menunjukkan peningkatan aktiviti sosial di semua peringkat tetapi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sudah mula dipandang ringan.

“Hal ini terbukti apabila data menunjukkan terdapat peningkatan tawaran kompaun bagi kesalahan gagal memakai pelitup muka sebanyak 8.9 peratus.

Walaupun kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal mulai berkurang (penurunan 73.7 peratus), namun pemakaian pelitup muka dengan betul haruslah diberi penekanan.

“Ini adalah amat penting bagi memastikan perebakan melalui udara dapat dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 50 kluster telah dilaporkan pada ME ke-47 dengan 22 daripadanya kluster tempat kerja dan enam kluster masing-masing melibatkan komuniti, kumpulan berisiko tinggi dan sektor pendidikan.

Dalam pada itu, beliau berkata trend penurunan nilai RT kepada 0.96 dijangka terus memberi impak positif dalam memastikan Malaysia bergerak ke arah fasa hidup dengan virus dan seterusnya fasa endemik.

Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 12.4 peratus dengan 304 kematian berbanding 347 kematian pada ME ke-46.

“Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak lima peratus iaitu 452 kes (ME ke-46) kepada 431 kes (ME ke-47).

“Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan (enam peratus) dari 179 kes (ME ke-46) ke 169 kes (ME ke-47) dan ia sebenarnya mula menunjukkan trend penurunan pada ME ke-45,” ujarnya.

Tambah beliau, kadar penggunaan fasiliti kesihatan (Katil Bukan ICU dan Katil PKRC) juga didapati menurun pada ME ke-47.

“Penggunaan katil bukan ICU di hospital telah mencatat penurunan sebanyak satu peratus manakala penggunaan katil di PKRC menurun sebanyak tiga (3) peratus berbanding ME ke-46,” katanya.

Related posts

Leave a Comment