Ahmad Maslan kalahkan Hasni, JB tangguh

PONTIAN 18 Mac – Bekas Menteri Besar Johor,  Hasni Mohammad gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian Pontian selepas tewas kepada Timbalannya yang juga Setiausaha Agung UMNO,  Ahmad Maslan.

Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri Benut memperoleh 291 undi berbanding Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian yang mendapat 388 undi.

Kemenangan Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu menamatkan legasi Hasni yang memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian selama 22 tahun.

Seramai 690 perwakilan daripada 117 cawangan terbabit dalam proses pemilihan kali ini yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian pula dimenangi Setiausaha Kerja UMNO Malaysia,  Sumali Mohd Reduan, manakala Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian disandang oleh Jamaluddin Abd Majid.

Sementara itu, pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang berlangsung di sebuah hotel di Johor Bahru ditangguh dan digantung.

Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi melibatkan perwakilan yang hadir.

“Keputusan ini muktamad dan kami akan menunggu arahan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat.

“Keputusan ini dibuat kerana jumlah perwakilan yang berdaftar pagi tadi untuk mengundi adalah seramai 523 orang, namun setelah kiraan dibuat jumlahnya mencecah 590 kertas undi.

“Sehubungan itu, saya umumkan pemilihan melibatkan Bahagian Johor Bahru kali ini ditangguh dan digantung. Proses seterusnya adalah untuk dimaklumkan kepada JPU pusat dan kita tunggu siasatan JPU pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penangguhan dan penggantungan itu selepas kiraan selesai dibuat pada pukul 10.15 malam ini.

Related posts

Leave a Comment