SINGAPURA 15 Mac – Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) membatalkan cadangan awal membenarkan solat tarawih di 27 kolong flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan dewan serbaguna sepanjang Ramadan ini.
Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen dalam satu kenyataan hari ini menyatakan keputusan itu dibuat setelah mendapati bahawa terdapat cukup tempat bagi para jemaah menunaikan solat tarawih di masjid-masjid.
Keputusan itu juga berdasarkan penilaian MUIS terhadap trend solat tarawih sebelum pandemik Covid-19 dan setelah solat itu disambung semula dalam tahun 2021 serta tahun lalu.
Sebelum ini, sebagai persiapan awal, MUIS dan masjid-masjid pada Februari lalu mengeluarkan surat kepada kumpulan-kumpulan kariah bagi meminta menyediakan sokongan untuk mengadakan solat tarawih di kolong dan dewan serbaguna.
Bagaimanapun selepas penilaian semula, MUIS membuat kesimpulan bahawa ada ruang solat yang mencukupi di masjid-masjid merata negara sepanjang Ramadan ini.
“MUIS difahamkan beberapa persiapan sudahpun dibuat oleh kariah. MUIS memohon maaf kepada kariah atas kesulitan yang berlaku dan amat menghargai usaha kariah,” kata Kadir.
Pada masa yang sama, masjid-masjid yang mempunyai permintaan tinggi sudah mengambil usaha untuk memperuntukkan lebih banyak ruang solat dalam Kawasan Solat Ditetapkan (DPA) dan melaksanakan sistem tempahan masjid.
“Masjid-masjid kami mempunyai DPA yang disenggarakan dengan baik, direka bentuk untuk keselamatan dan keselesaan serta mematuhi sepenuhnya garis panduan keselamatan negara.
Oleh itu, tidak ada keperluan untuk solat berjemaah dijalankan di tempat awam yang tidak direka bagi tujuan tersebut dan boleh menimbulkan kesulitan kepada orang lain,” kata kenyataan itu.
Menurut MUIS, masjid-masjid sudah mengambil langkah-langkah wajar untuk membolehkan jemaah menunaikan solat mereka dengan selamat dan selesa di dalam DPA.
Bagi para jemaah yang tidak dapat ke masjid untuk melakukan ibadah, boleh beribadah bersama ahli keluarga di rumah.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, MUIS menjelaskan tiada lagi tempahan perlu dibuat bagi mendirikan solat Tarawih di 57 masjid di seluruh negara kecuali di 10 masjid yang mendapat permintaan tinggi dengan tempat terhad.
Sebanyak 98,550 ruang solat disediakan setiap malam di 67 masjid.
(Foto hiasan dari FB Masjid Yusof Ishak)
