Mangsa banjir di Johor turun

JOHOR BAHRU 13 Mac – Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan kepada 40,846 orang daripada 11,496 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 41,661 orang daripada 11,664 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor,  Dr Azmi Rohani dalam satu kenyataan berkata semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, sehingga pagi ini sebanyak tiga PPS ditutup dengan Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat masih terjejas dengan banjir.

Di Batu Pahat, jumlah mangsa banjir tutun kepada 39,256 orang melibatkan 10,966 keluarga yang masih ditempatkan di 112 PPS manakala di Muar, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 781 orang melibatkan 226 keluarga di 10 PPS.

Bagaimanapun di Tangkak menunjukkan sedikit peningkatan iaitu seramai 576 mangsa melibatkan 241 keluarga berbanding malam tadi iaitu seramai 544 orang (206 keluarga) di lapan PPS.

Menurut Azmi, Segamat juga menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 234 orang daripada 63 keluarga di sembilan PPS.

Katanya, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini.

Mengikut jadual paras air sungai, terdapat lima sungai yang mencatatkan paras air melepasi paras bahaya iaitu sebuah di Muar dan empat di Batu Pahat.

Sungai Muar di Bukit Kepong masih mencatat paras 3.57 meter. Sungai di Batu Pahat iaitu Empangan Bekok (19.47 meter), Sungai Simpang Kiri di Sri Medan (2.30 meter), Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong (2.05 meter) dan Sungai Senggarang di Senggarang (3.63 meter).

(FOTO : Pemantauan di Sungai Simpang Kiri dan Sungai Kampung Dalam Parit Sulong – Foto Polis Daerah Batu Pahat)

Related posts

Leave a Comment