Pemangsaan politik yang terancang

KUALA LUMPUR 10 Mac – Muhyiddin Yassin mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh membuat keputusan lebih awal untuk mendakwanya sedangkan beliau belum memberikan sebarang kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas perdana menteri yang juga Presiden Bersatu itu berkata, beliau mengetahui keputusan untuk mendakwa dirinya sudah diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

“Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

“Saya sudah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kesalahan yang saya lakukan,” katanya dalam sidang media selepas menghadapi enam pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen hari ini.

(RUJUK KENYATAAN PENUH MUHYIDDIN)

Terdahulu, Muhyiddin menghadapi enam pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 merangkumi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura, kira-kira pukul 9.20 pagi.

Dalam prosiding, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata “saya faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan”.

Sepanjang prosiding, beliau yang hadir memakai kemeja putih dan sut hitam kelihatan tenang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Syarikat Nepturis Sdn Bhd, Syarikat Mamfor Sdn Bhd dan seorang individu Azman Yusoff, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 bagi sekutunya iaitu Parti Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok A, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 8 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Muhyiddin turut didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai Presiden Parti Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM120 juta dan RM75 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB milik Parti Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menawarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warga tempatan dan bukan ahli keluarga, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin memberitahu mahkamah pihaknya bersetuju dengan jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Hakim membenarkan Muhyiddin diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, galeri awam mahkamah dipenuhi beberapa pimpinan Bersatu antaranya Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Related posts

Leave a Comment