226 kes harian Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA 8 Mac – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam masih mencatatkan peningkatan dengan merekodkan 226 kes termasuk tiga kes import berbanding 188 yang direkodkan kelmarin.

Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,044,204. yang meliputi 5,005,503 kes tempatan dan 38,701 kes import.

Tiada kematian baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah yang meninggal dunia setakat ini kekal 36,966 orang termasuk 7,876 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, jumlah kes aktif naik sedikit kepada 9,235 berbanding 9,211 kelmarin, dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,913 kes atau 96.5 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 318 pesakit atau 3.4 peratus mendapat rawatan di hospital, empat daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dan tiada kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 202 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,998,003.

Bagi kes harian negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendahului negeri-negeri lain dengan 90 kes diikuti Selangor mencatatkan 52 kes manakala Perlis tidak merekodkan kes baharu.

Related posts

Leave a Comment