Sentuh telur India, Ka Siong terima surat saman

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Gara-gara membangkitkan isu telur import di Dewan Rakyat baru-baru ini Ahli Parlimen Ayer Hitam, Dr. Wee Ka Siong menerima surat saman daripada pengimport telur dari India.

Ia susulan kenyataan yang dibuat ketika beliau mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat minggu lalu.

Presiden MCA itu menarik perhatian Dewan Rakyat pada 22 Februari lalu apabila membawa tiga biji telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan.

Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, D

Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

Selain itu, Ka Siong juga mendakwa ketiga-tiga jenis telur itu berbeza dari saiz dan harga.

“Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.

“Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti… tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.

Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini. Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat kepada saya.

“Ini floor (platform) saya. Saya pun tak sebut syarikat apa dan saya tak nak tahu (syarikat apa),” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Ka Siong pada 22 Februari lalu berkata keperluan telur ayam tempatan lebih kritikal ketika ini kerana ia bahan penting diperlukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya peniaga untuk menghasilkan makanan.

Katanya, keperluan telur ayam tempatan mendesak lebih-lebih lagi menjelang sambutan perayaan sambil melontarkan persoalan kepada kementerian mengenai langkah menstabilkan bekalan serta harga telur ayam tempatan.

Menurut beliau, kerajaan terdahulu beri subsidi daripada lima sen untuk telur ditambah tiga sen menjadi 10 sen (telur ayam gred A, B dan C) dan ayam subsidi 80 sen sehingga harga ayam diturunkan.

“Betul satu tindakan yang kita rasa terpaksa dibuat tetapi pernah saya bangkitkan dalam perbahasan… telur Yang Berhormat (Mohamad Sabu) sebut (sebanyak) 120 juta tak cukup, 180 juta tak cukup telur.

“Jadi dalam keadaan ini apakah formula Yang Berhormat sebab semalam umumkan iaitu selepas 30 Jun, masalah ini akan selesai kerana kita akan apungkan (harga).

Jadi bila sampai 30 Jun nanti maka masalahnya akan berlarutan. Dalam beberapa bulan ini, kita akan berdepan dengan Ramadan dan hari raya. Itu kekhuatiran kita kerana kita tak nak kerajaan diseru bila tak cukup telur,” katanya.

Ka Siong turut menunjuk tiga biji telur iaitu telur ayam dari India, telur ayam omega dan telur ayam tempatan untuk membuat perbandingan di mana ketiga-tiga jenis telur itu berbeza daripada segi kepenggunaan, saiz dan harga.

“Saya bawa telur ini dari India… saya beli 50 sen. Ini adalah telur Malaysia yang nak cari… 43 sen ini harga dikawal. Tengok saiznya kita dapat lihat harga telur India ini 50 sen dan (saiz) lebih kecil manakala telur (ayam) Malaysia lebih besar.

“Ini (telur ayam tempatan) yang kekurangan. Kalau kata telur omega ini telur kampung. (harga) 76 sen orang nak beli adalah orang kaya. Tetapi inilah (telur ayam Malaysia) untuk bantu SME (PKS) khususnya orang Melayu nak buat kuih.

“Saya nak tanya Yang Berhormat, dalam tempoh enam bulan ini, adakah kita masih lagi bagi 10 sen subsidi atau dengan apa cara untuk membantu keluarga yang kurang berada ataupun terus apungkan?,” katanya.

Related posts

Leave a Comment