190 kes harian Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA 28 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 semalam merekodkan 190 kes termasuk dua kes import berbanding 207 kes kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,042,585

Menurut data portal KKMNow, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 5,003,905 adalah kes tempatan dan 38,680 kes import manakala jumlah kematian kekal 36,957 orang termasuk 7,873 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, jumlah kes aktif meningkat sedikit kepada 9,219, bertambah 13 kes berbanding kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,888 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 325 pesakit atau 3.5 peratus mendapat rawatan di hospital, enam daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana tiga orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 177 lagi pesakit dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,996,409 orang.

Bagi kes harian negeri, Selangor mencatatkan 70 kes berbanding 74 kelmarin  diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 39 kes berbanding 51 sebelumnya manakala Wilayah Persekutuan Labuan dan Terengganu tidak merekodkan kes baharu.

Related posts

Leave a Comment