KORONAVIRUS Covid-19 semakin merebak. Dulu ketika orang politik serta rakyat disibukkan dengan kuasa dan takhta, antara sedar atau tidak, virus ini sudah mula menerjah masuk . Mencari-cari ‘rumah’ mana untuk diduduki. Tidak pasti dari mana dia datang walaupun asal usulnya dikatakan dari wilayah Wuhan di China.
Tidak pasti koronavirus ini masuk ‘rumah’ kita ikut pintu mana. Pintu udara melalui pesawat yang mendarat di lapangan terbang? Pintu pelabuhan melalui kapal pesiaran yang berlabuh? Ikut jalan darat melalui bas pesiaran di sempadan? Adakah kita lambat bertindak? Adakah ketika negara lain sudah bertindak tegas dengan penguatkuasaannya, kita masih menganggap terkawal?
Benarkah kita terlalu ‘berbudi bahasa’ meraikan tetamu? Kita buka pintu seluas-luasnya. Tahun Melawat Malaysia pulak tu. Masuklah ke Malaysia untuk bercuti dan sebagainya. Selamat Datang. Kami mengalu-ngalukan kehadiran anda! Ada yang tersentak apabila masjid ditutup untuk pelancong tetapi sekarang ’ditutup’ untuk orang Islam.
Apa pun perkara sudah berlalu. Tetamu sudah datang. Sudah ada di dalam rumah kita. Usah dikenang nanti merosak diri. Tidak perlu buang masa menuding jari kepada mana-mana pihak walaupun hasrat itu ada. Covid-19 ini bukan isu politik. Ayuh orang politik, sama-sama kita bercakap mengenai usaha pencegahan dan mengusir keluar Covid-19 walaupun tidak ada lagi pentas ceramah.
Kebanyakan pintu sudah ditutup. Pintu negara @ sempadan ditutup, pintu universiti @ sekolah ditutup, pintu dewan untuk majlis kenduri, persidangan, mesyuarat, pameran dan pelbagai lagi ditutup. Begitu juga pintu pejabat kerajaan dan swasta. Malahan pintu masjid dan surau pun ditutup.
Yang tidak pernah tutup adalah pintu kubur dan pintu Taubat.
Maka hentikan dulu isu pintu belakang atau depan. Di saat genting ini jangan kita masih ‘mabuk’ dengan kuasa. Mana mungkin ketika musuh berkeliaran di dalam rumah, kita masih berkira-kira mahu menyusun kerusi di sana sini, mengubah kedudukan kabinet atau mencari-cari orang baharu ke dalam rumah.
Ingatlah Covid-19 sudah ada di setiap penjuru rumah. Selongkarlah. Gunakan apa sahaja untuk mengusirnya. Apa yang penting bagaimana semua anggota keluarga bekerjasama mencari Covid-19 ini..
Apa saja ilmu yang ada kita manfaatkan untuk mengusir Covid-19. Tak kisahlah kita bawanya ‘keluar’ ikut pintu depan, belakang atau melalui mana-mana ‘saluran’, asal Covid-19 keluar daripada rumah kita. Hasrat kita inginkan semua pintu yang ditutup atau akan ditutup dibuka semula. Kembalikan kehidupan seperti biasa.
Terima kasih juga kepada petugas kesihatan terutama doktor dan jururawat. Hari ini kita nampak peranan mereka. Ketika kakitangan lain ‘diberi cuti berikutan kehadiran ‘tetamu’ ini mereka masih bertungkus lumus walaupun pada satu ketika, ada yang pertikaikan elaun yang mereka peroleh. Ada juga yang pertikaikan jumlah mereka yang terlalu besar. Mahu dikurangkan jumlah mereka.
Hari ini golongan ini diperlukan. Justeru jangan perkecilkan peranan mereka atau sesiapa sahaja. Masing-masing ada peranan. Kita tidak tahu bila mereka diperlukan. Jangan sesuka hati untuk mengurangkan peranan golongan seperti ini. Bayangkan wabak seperti ini terus menggila, ketika itu baru kita sedar perlunya golongan ini.
Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita, keluarga kita dan negara kita.
Ya Allah, andai wabak ini adalah disebabkan dosa dan kealpaan kami, ampunkan lah kami..lindungi kami dari murka Mu Ya Allah, lindungi kami dari azab dan bala yang Kau turunkan, hanya kepada Mu kami memohon pertolongan dan hanya ampunan Mu yang kami harapkan.