PONTIAN 26 Feb. – Rebutan jawatan Ketua UMNO bahagian Pontian dijangka menjadi tumpuan apabila Timbalan Ketua Bahagian, Ahmad Maslan, mengesahkan akan bertanding merebut jawatan itu.
Setiausaha Agung UMNO itu akan mencabar penyandang Hasni Mohammad, yang juga bekas Menteri Besar Johor pada pemilihan parti 18 Mac ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 mengesahkan borang pencalonannya bagi merebut jawatan itu sudah dihantar petang ini di Pejabat UMNO Bahagian Pontian.
Hasni menyandang jawatan Ketua Bahagian Pontian sejak 2001, manakala Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian mulai 2008.
Di peringkat pusat, Ahmad yang sebelum ini disebut-sebut akan menyertai saingan bagi jawatan Naib Presiden hanya akan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada pemilihan kali ini.
“Saya tidak menawar diri bertanding Naib Presiden kerana tidak mahu memecahkan undi, memandangkan Johor sudah mempunyai tiga calon bagi jawatan itu.
“Dari segi kelayakan dan pengalaman, saya memang sudah lama dalam UMNO dan pernah memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO dan sudah meninjau kesemua 191 bahagian UMNO di seluruh negara.
“Namun apabila sudah terlalu ramai calon ia akan memecahkan undi. Lapan calon sudah menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO di mana tiga calon dari Johor,” katanya.
Tiga calon dari Johor adalah Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin yang juga penyandang; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said dan Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.
Selebihnya dari Kedah iaitu Mahdzir Khalid ; Pahang ( Wan Rosdy Wan Ismail); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Johari Abdul Ghani); Pulau Pinang (Reezal Merican Naina Merican) dan Perak (Dr Zambry Abd Kadir).
