Tambah RM500 bagi baki caruman KWSP

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Kerajaan bersetuju menambah caruman RM500 ke dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun berkenaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif dalam Belanjawan 2023 itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membantu mereka membina semula simpanan persaraan yang berkurangan susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.

Bagi tujuan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi meningkatkan simpanan persaraan hampir dua juta pencarum KWSP yang menghampiri usia persaraan.

“Setelah negara dibelenggu musibah pandemik Covid-19, rakyat terpaksa beberapa kali mengorbankan simpanan hari tua mereka bagi menampung keperluan hidup ketika pandemik

Kini setelah rakyat beransur-ansur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima bagi menyara kehidupan, sementara simpanan hari tua masih rendah.

“Kerajaan beriltizam membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar juga menjelaskan, dividen bagi pencarum daripada golongan miskin dan menengah, akan berkurangan jika kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP bagi mereka yang kaya serta berkemampuan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu membuat pilihan antara membenarkan pengeluaran khas KWSP kali kelima, atau membantu pencarum yang hampir bersara tetapi mempunyai simpanan kurang RM10,000.

Beliau menegaskan, jika kerajaan bersetuju dengan langkah populis membenarkan pengeluaran KWSP, golongan miskin dan menengah yang akhirnya akan menanggung kerugian.

“Kita boleh keluarkan (wang KWSP) dalam keadaan terdesak. Kalau kerajaan memberi RM500 kepada kategori bawah yang miskin, kemudian golongan kaya dibenar keluarkan wang mereka.

Akhirnya, dividen orang miskin yang ramai itu akan terjejas. Jadi, kita kena buat pilihan di sini. Kalau buat kenyataan popular tetapi tak perinci, itu masalahnya.

Tarik wang daripada KWSP dalam kalangan orang kaya, bermakna dividen orang miskin, yang kerajaan sudah tampung tambahan RM500 itu akan berkurangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment