KUALA LUMPUR 24 Feb. – Sehingga semalam, Khamis 23 Februari, sebanyak 11,369 calon telah mendaftarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan di peringkat pusat dan bahagian di seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Shahrir Abdul Samad berkata, sambutan yang diberi amat menggalakkan dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang hari terakhir pencalonan Ahad ini.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 270 calon menawarkan diri untuk jawatan di peringkat pusat yang merangkumi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Exco bagi sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ianya adalah petanda baik kepada proses demokrasi di dalam UMNO,” katanya pada sidang media mengenai perjalanan pendaftaran pencalonan di Menara Dato Onn hari ini.
Katanya, daripada 74 calon yang menghantar borang pencalonan bagi jawatan MKT, 55 daripadanya adalah muka baharu.
Manakala bagi Exco Wanita UMNO, sebanyak 39 daripada 55 pencalonan adalah muka baharu dan untuk Pemuda pula, 44 adalah muka baharu daripada 45 orang yang telah mengesahkan pencalonan masing-masing.
Beliau berkata setakat ini, proses pencalonan bagi pemilihan parti itu di peringkat pusat dan seluruh bahagian berjalan lancar dan berharap mereka yang ingin menawarkan diri untuk bertanding menghantar borang pencalonan dengan segera.
