Pengalaman Pahang dorong MB tanding Naib Presiden

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Pengalaman, sumbangan dan kejayaan parti di Pahang mendorong Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan bulan depan.

Katanya, UMNO Pahang banyak membantu parti ketika 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan dan mencetuskan kemenangan pertama parti di PRK Parlimen Cameron Highlands, selepas PRU-14.

Beliau berkata, kebangkitan di Cameron Highlands diteruskan di PRK  di Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River di samping peranan membantu kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor.

“Saya memohon akar umbi UMNO untuk menilai pengalaman dan sumbangan yang saya berikan kepada parti selama ini, khususnya ketika mencetuskan kemenangan pertama parti di PRK Parlimen Cameron Highlands, selepas PRU-14,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menjelaskan penyertaannya dalam persaingan bagi menduduki tiga jawatan Naib Presiden UMNO yang akan dipertandingkan pada pemilihan bulan depan.

Wan Rosdy yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO  menghantar borang pencalonan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia di WTC, pada pukul 3 petang ini.

Menurut Wan Rosdy, beliau sedar bahawa kedudukan, imej dan prestasi UMNO semakin merosot di mata rakyat terutama selepas PRU-15.

“Atas kesedaran itu, saya berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini,” katanya.

Beliau juga menyatakan kebangkitan UMNO Pahang dengan pantas selepas PRU-15, dengan mencipta kemenangan di DUN Tioman yang menjadi benteng terakhir parti ketika tsunami politik melanda negara.

Malahan katanya, pada PRU-15, UMNO Pahang berupaya mempertahankan 17 kerusi DUN yang merupakan bukti keupayaan dan kemampuan UMNO Pahang meskipun tsunami melanda negara.

“Rentetan kejayaan ini serta hasil perbincangan bersama rakan-rakan perjuangan, mereka meminta saya meneruskan khidmat bakti dan berkongsi formula kemenangan ini dengan cara yang lebih bermakna melalui jawatan Naib Presiden.

“Berbekalkan semangat dan iltizam ini serta dengan pengalaman yang ada, saya beriltizam dan bertekad untuk membantu kepemimpinan parti terutamanya Presiden dan Timbalan Presiden bagi memastikan UMNO kembali bangkit memenangi hati rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment