Dr Shamsul Anuar hormati pandangan semua

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Ahli Parlimen Lenggong, Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang sebelum ini disebut-sebut akan menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden UMNO hanya akan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Katanya , beliau memahami dan menghormati pandangan dan permintaan semua pihak tetapi setelah membuat pertimbangan mendalam dan sewajarnya, beliau memutuskan untuk mempertahankan kedudukan sebagai Ahli MKT UMNO.

“Maka dengan rendah diri, saya sekali lagi menawarkan diri dan ingin mempertahankan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia bagi sesi 2023-2026.

“Tiada lain niat saya, melainkan kerana Allah dan ingin berbakti kepada parti demi perjuangan untuk Agama, Bangsa & Negara tercinta,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri sebelum itu hadir di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan Ahli MKT.

Dr. Shamsul Anuar berkata, tawarannya untuk terus berbakti kepada parti memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua. 

“Paling utama kesetiaan saya tetap kepada parti dan saya hanya ingin berkhidmat serta berbakti. Ikrar saya selagi perjuangan parti tidak lari dari prinsip dan ideologinya, saya akan lakukan apa saja demi parti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment