Belum ada sahkan bertanding Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Belum ada calon yang mengesahkan secara rasmi melalui borang pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO menjelang tempoh akhir pencalonan  26 Februari ini walaupun sebelum ini terdapat beberapa nama yang sedia menawarkan diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Shahrir Samad, berkata belum ada lagi tokoh yang mendaftar untuk bertanding jawatan No. 3 parti itu kecuali 24 pencalonan untuk jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ketika ini tiga penyandang Naib Presiden adalah Ismail Sabri Yaakob,  Mahadzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Shahrir, setakat semalam, secara keseluruhan, seramai 111 calon sudah mendaftarkan diri untuk pertandingan pelbagai jawatan di peringkat MKT UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagi Ketua Wanita dan Pemuda UMNO,  masing-masing seorang calon telah mengesahkan pencalonan manakala bagi Ketua Puteri UMNO, enam calon menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan itu.

Memetik laporan portal UMNO Online, seorang calon mendaftar bagi Naib Ketua Wanita UMNO, dua calon Naib Ketua Pemuda, tiga bagi Naib Ketua Puteri, 22 orang untuk Exco Wanita, 25 untuk Exco Pemuda dan 15 Exco Puteri.

Shahrir menjangkakan, lebih ramai calon akan mendaftar, termasuk bagi jawatan Naib Presiden UMNO sepanjang minggu terakhir ini.

Pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 sudah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari ini, di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli MKT UMNO, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, pendaftaran dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO negeri.

Sementara itu, bagi tujuan kempen, Shahrir menyarankan calon yang bertanding pada Pemilihan UMNO 2023 menggunakan saluran media sosial untuk berkempen.

Beliau berkata, kaedah itu boleh diguna pakai dalam kalangan calon bagi memudahkan mereka berikutan tempoh kempen yang singkat.

“Saya hendak menegaskan kelonggaran kepada tata etika yang kita guna pakai sekarang ini bahawa kemudahan atas talian mahupun media sosial harus digunakan.

“Ini termasuk mengadakan pertemuan melalui aplikasi seperti Zoom atau WhatApp dan sebagainya. Ia boleh diguna pakai untuk menggantikan pertemuan secara bersemuka kerana kita tahu tempoh pemilihan iaitu dari 1 Februari sampai ke tarikh pemilihan 18 Mac adalah pendek,” katanya.

Related posts

Leave a Comment