PUTRAJAYA 18 Feb. – Bekas Pengerusi PEJUANG, Dr. Mahathir Mohamad membayangkan akan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan tidak menolak sekiranya parti itu mahu melantik beliau sebagai penasihat.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, jemputan menyertai PUTRA sesuai dengan perjuangan dan prinsip politiknya iaitu membela nasib orang Melayu dan menolak amalan rasuah.
“Terima kasih atas jemputan ini dan saya akan meneliti terlebih dahulu sama ada PUTRA ini sesuai atau tidak dengan saya.
“Setakat ini, saya tidak nampak sebab tidak boleh terima parti ini, saya akan fikir secara mendalam sebelum keputusan dibuat.
“Saya akan membuat permohonan menjadi ahli dan kalau mahu bagi saya sebagai penasihat parti, saya boleh bagi nasihat,” katanya pada sidang media bersama pimpinan PUTRA di sini, hari ini.
Dr Mahathir mengetuai UMNO sejak 1981 sebelum mengumumkan peletakan jawatannya pada 22 Jun 2002 yang dikuatkuasakan pada Oktober 2003.
Beliau mengumumkan keluar UMNO pada 29 Februari 2016 atas alasan parti itu wujud hanya untuk kepentingan seorang individu.
Beliau kemudian menyertai BERSATU pada September 2016 sebelum meletak jawatan pada 24 Februari 2020.
Keahliannya dalam BERSATU digugurkan pada Mei 2020 kerana tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional (PN), gabungan baharu diasaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU bersama Pas dan Gerakan, yang disokong UMNO.
Pada Ogos 2020, Dr Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dengan beliau menjadi pengerusi dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang turut disingkirkan daripada BERSATU sebagai Presiden.
Bagaimanapun Dr Mahathir meninggalkan parti itu pada 10 Februari lalu.
Dr Mahathir berharap dapat memberi panduan kepada PUTRA dan meneruskan perjuangan serta mencapai matlamat untuk menyelamatkan kaum Melayu di negara ini.
Sementara itu, Presiden PUTRA, Ibrahim Ali, yakin Dr Mahathir masih memiliki aura untuk memimpin PUTRA.
“Kita mahu Tun sertai PUTRA. Kami mohon seikhlas hati dan tidak timbul soal Tun mahu memohon sertai PUTRA atau tidak.
“Kita juga jemput 14 bekas pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) untuk sertai PUTRA.
“Kita doakan Tun dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali diberi kesihatan berpanjangan dan kami mahu sehidup semati dengan perjuangan Tun,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir bersama 12 ahli lain dilapor keluar daripada PEJUANG selepas kecewa kerana parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).
Tindakan Dr Mahathir itu berikutan keputusan perwakilan PEJUANG mengumumkan menarik diri daripada GTA pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.
