PUTRAJAYA 17 Feb. – Kes jangkitan harian Covid-19 terus menunjukkan peningkatan semalam dengan merekodkan 281 kes termasuk satu kes import berbanding 237 yang dilaporkan kelmarin.
Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,040,368 kes iaitu 5,001,717 kes tempatan dan 38,651 kes import.
Bagaimanapun menurut data portal KKMNow, tiada kematian baharu dilaporkan semalam dan jumlah kematian kekal 36,954 orang termasuk 7,872 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam adalah 9,399 bertambah 24 kes berbanding kelmarin 9,375 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,072 kes atau 96.5 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit di pusat kuarantin (PKRC), manakala 319 pesakit atau 3.4 peratus mendapat rawatan di hospital, lapan daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana dua orang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, 257 lagi pesakit baharu dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,994,015 orang.
Bagi kes harian negeri, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 105 kes berbanding 79 kelmarin diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 105.