PBB rayu bantuan, keperluan amat besar

(Foto UNHCR)
ISTANBUL: Selepas 11 hari dan ketika harapan untuk mencari mangsa yang terselamat semakin pudar, jumlah kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria sudah melebihi 41,000 mangsa.

Menurut laporan, seramai 38,044 orang meninggal dunia di Turkiye dan 3,688 lagi di Syria susulan gegaran 6 Februari lalu, menjadikan jumlah yang disahkan maut meningkat kepada 41,732 orang.

Gempa itu berlaku di salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia dan melanda kawasan berpenduduk padat, dengan ramai daripada mereka tidur di rumah yang tidak dibina untuk menahan gegaran tanah sebegitu kuat.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu bantuan AS$1 bilion (RM4.4 bilion) untuk menangani krisis kemanusiaan yang semakin meningkat.

“Keperluan sangat besar sekarang, orang ramai menderita dan kita tiada masa untuk dibazirkan,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam satu kenyataan, yang turut merayu dana untuk membantu mangsa.

Beliau berkata, sumbangan itu akan memberikan bantuan kemanusiaan selama tiga bulan kepada 5.2 juta orang.

Katanya, dana itu akan ‘membolehkan pertubuhan bantuan meningkatkan sokongan penting dan bertindak dengan pantas’ termasuk dalam bidang keselamatan makanan, perlindungan, pendidikan, air serta tempat tinggal.

“Saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan dan membiayai sepenuhnya usaha kritikal ini sebagai tindak balas kepada salah satu bencana alam terbesar pada zaman kita,” katanya.

Ramai di zon terjejas menghadapi saat terdesak akibat cuaca sejuk bawah paras beku, tanpa makanan, air dan tandas – yang seterusnya mungkin mengakibatkan penyebaran wabak penyakit.

Palang Merah semalam berkata ia menggandakan rayuan pembiayaan kecemasannya lebih tiga kali iaitu kepada lebih AS$700 juta (RM3 juta).

Related posts

Leave a Comment