Anwar zahirkan solidariti Malaysia kepada Erdogan

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah dari rakyat Malaysia kepada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan di Ankara hari ini susulan gempa bumi yang meragut puluhan ribu nyawa pada 6 Februari lalu.

“Saya menzahirkan solidariti Malaysia sebagai negara sahabat ketika saat getir dan sukar, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terutamanya dalam membantu warga Turkiye yang terkesan dari malapetaka gempa,” katanya.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri juga memaklumkan kepada rakan sejawatnya mengenai bentuk bantuan yang telah diusahakan oleh pihak Kerajaan Malaysia.

Anwar berlepas ke Turkiye malam tadi untuk memberi sokongan moral kepada Erdogan dan rakyatnya yang terjejas akibat bencana alam itu.

Turut sama Menteri Luar Negeri Dr.  Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Armizan Mohd Ali, Duta Malaysia Ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin.

Perdana Menteri memutuskan untuk membuat lawatan berkenaan atas permintaan Erdogan.

Malaysia menghantar dua pasukan SMART termasuk dua anjing pengesan (K9) dan membantu mewujudkan hospital lapangan yang dikendalikan angkatan tentera bagi menyediakan perkhidmatan perubatan.

Related posts

Leave a Comment