Nazri personaliti sesuai sebagai Duta AS

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Mohamed Nazri Aziz adalah personaliti sesuai sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dan diyakini mampu merapatkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan AS.

Katanya, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu diberi tanggungjawab memperkukuh hubungan perniagaan-kepada-perniagaan (B2B), pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan hubungan antara kerajaan (G2G) kedua-dua negara.

Selain itu, katanya, Mohamed Nazri juga ditugaskan untuk mengatur pertemuan penting antara Anwar Ibrahim dengan pemimpin kerajaan AS dan pemain korporat utama apabila Perdana Menteri melawat negara itu nanti.

“Beliau adalah personaliti yang sesuai untuk menjadi diplomat utama Malaysia di AS kerana kita pernah mempunyai beberapa duta besar sebelum ini seperti Allahyarham Dr Jamaluddin Jarjis, Dr Awang Adek Hussin yang dapat menjalin hubungan lebih rapat antara kerajaan AS dan Malaysia.

“Saya percaya Anwar akan melawat AS, dan saya percaya Nazri mampu mengurus dan mengatur mesyuarat penting antara Anwar dan pemimpin utama kerajaan AS serta ketua korporat AS serta Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM),” kata.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKWD) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid juga menjelaskan pelantikan Mohamed Nazri bukan atas cadangan UMNO, sebaliknya dibuat atas syor bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika menerajui kerajaan terdahulu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata negara sebelum ini berada di tahap tiga bagi nasihat perjalanan rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat, namun berjaya ditingkatkan ke tahap dua.

Justeru, beliau berharap Mohamed Nazri mampu meningkatkan semula tahap nasihat perjalanan rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat kepada tahap satu.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan pelantikan Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke AS dibuat oleh kerajaan lalu dan sudah disahkan oleh AS, sekali gus pentadbirannya terpaksa meneruskan pelantikan berkenaan kerana pembatalan akan menimbulkan pelbagai masalah lain.

Ia susulan beberapa kritikan terhadap Anwar berikutan pengumuman Kementerian Luar bahawa Mohamed Nazri adalah seorang daripada 10 ketua perwakilan diplomatik Malaysia yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Antara yang mengkritik pelantikan Duta Besar Malaysia ke AS adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Abdul Karim yang menegaskan jawatan duta perlu dikhaskan kepada diplomat yang mahir dalam hal ehwal antarabangsa.

Khabar mengenai pelantikan Mohamed Nazri sebagai duta sudah kedengaran sejak awal tahun lalu, namun ketika itu namanya dicadangkan sebagai Duta Besar Malaysia Ke Switzerland, yang diusulkan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Pengesahan selepas itu datang daripada Mohamed Nazri sendiri yang tampil menjelaskan terpaksa menolak jawatan itu kerana perlu melepaskan keanggotaannya sebagai Ahli Parlimen.

Kementerian Luar turut menafikan pencalonan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Switzerland ditolak negara itu.

Related posts

Leave a Comment