Ke mana Dr. Mahathir selepas Bersatu, Pejuang

APA pula strategi Dr. Mahathir Mohamad kali ini? Adakah ini pengakhiran politik bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu? Sudah dua kali Dr. Mahathir tidak kekal lama bersama parti yang diasaskannya selepas meninggalkan UMNO.

Dr. Mahathir bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mulai September 2016 dan meletak jawatan pada 24 Februari 2020. Keahliannya digugurkan pada bulan Mei selepas tindakannya tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa bulan kemudian, pada Ogos 2020, Dr Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang),di mana beliau sebagai Pengerusi dan anaknya Mukhriz yang juga disingkirkan dari Bersatu sebagai Presiden.

Semua ini berlaku selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang apabila Bersatu meninggalkan PH dan Presidennya Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan PN bersama UMNO dan Pas.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr. Mahathir pada Ogos 2022
membentuk Gerakan Tanah Air (GTA) yang dianggotai parti-parti Melayu iaitu Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Selepas kekalahan teruk calon-calon GTA yang menggunakan lambang Pejuang semasa PRU15, pada Disember 2022, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang tetapi kekal sebagai anggota parti.

Tindakan Dr. Mahathir itu menurut Mukhriz selepas berlakunya perbezaan pendirian antara dirinya dan bekas Perdana Menteri itu berhubung kerjasama dengan GTA.

Mukhriz pada 6 Disember 2022 ketika mesyuarat Majlis Tertinggi GTA memaklumkan bahawa sentimen dalam kalangan ahli parti selepas PRU15 adalah supaya Pejuang berundur daripada GTA. Akhirnya Pejuang meninggalkan GTA pada Januari 2023.

Kelmarin, Dr Mahathir bagaikan ‘berkerat rotan berpatah arang’ apabila bertindak keluar Pejuang bersama 12 lagi termasuk bekas Timbalan Presiden, Marzuki Yahya; bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Abu Bakar Yahya.

Bagi mereka, keputusan Pejuang memutus hubungan dengan GTA secara langsung menyingkirkan mereka dari kekal sebagai ahli parti itu apabila mereka bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.

Kumpulan 13 ini menegaskan, matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip serta berpegang kepada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

“Di atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA,” kata notis keluar parti yang ditandatangani 13 anggota yang terlibat.

Isu sekarang, kumpulan 13 mahu menggerakkan GTA atas nama parti mana? Situasi ini sama seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor apabila meninggalkan Bersatu tetapi bernaung di bawah Gerakan Rakyat Sabah (GRS).

Tidak mungkin Dr Mahathir akan menubuhkan parti baharu kerana seperti ditegaskan beliau sebelum ini, empat parti Melayu sudah mencukupi, merujuk kepada UMNO, Pas, Amanah dan Bersatu.

“ Sudah ada empat parti Melayu cukuplah. Tak payah buat sampai 20 hingga 30 parti lagi sebab nak jadi presiden parti,” kata Pengerusi Bersatu itu semasa mempengerusikan mesyuarat PH pada Julai 2019.

Pada masa yang sama, beliau mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik Melayu, kerana ketika itu parti politik Melayu terbahagi kepada enam.

Bagaimanapun selepas tersingkir dari Bersatu beliau menubuhkan Pejuang.

Melihat prestasi buruk Pejuang dalam PRU lalu, bukan sekadar kalah tetapi hilang wang deposit, sebarang cubaan menubuhkan satu lagi parti baharu hanyalah membuang masa, tenaga dan mengecilkan undi orang Melayu.

Apa pun ‘strategi berbalah’ dengan anaknya kali ini, Dr Mahathir seorang yang licik berpolitik dan tidak mudah mengaku kalah. Benarkah beliau mahu memberi peluang kepada anaknya memimpin parti tanpa kehadirannya?

Pejuang pimpinan Mukhriz boleh memilih hala tuju sendiri untuk bersama PH atau PN. Pejuang ada lima pilihan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu terus bersama GTA, bekerjasama dengan PH atau PN, bergerak solo dan tidak bertanding.

Jika Mukhriz memilih PH, Dr. Mahathir pula boleh sahaja bersama Muafakat Nasional (MN) yang mungkin mesra PN yang penerajunya Bersatu dan Pas. Maknanya dua beranak ini ‘berada di kiri dan kanan’.

Harus diingat matlamat GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip serta berpegang kepada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Maka tanpa parti Dr Mahathir masih boleh menggerakkan GTA apabila pendaftarannya diluluskan dan boleh bertanding atas nama GTA, bukannya Putra, Berjasa atau Iman.

Related posts

Leave a Comment