KUALA LUMPUR 12 Feb. – Barisan Nasional (BN) Malaysia memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abd Kadir, dalam satu kenyataan media berkata pendirian ini sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Berikutan pendirian itu juga, BN Malaysia menamakan Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Bung Moktar Radin menarik balik sokongan BN/UMNO kepada Hajiji menyebabkan berlaku pertikaian keabsahan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Hajiji berjaya mendapat sokongan 47 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk lima ADUN UMNO/BN serta manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim merestui kepemimpinan Hajiji.
Tindakan UMNO menarik balik sokongan juga mengakibatkan rombakan semula Kabinet Sabah dibuat Hajiji yang menyaksikan Bung Mokhtar akhirnya digugurkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya Sabah.
Menjelaskan pendirian BN Malaysia, Dr Zambry berkata, sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya.
“Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan Sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah,” katanya.
Menurut Dr Zambry lagi, BN Sabah dipertanggung-jawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan sekaligus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.
Dengan pengumuman ini secara tidak langsung, lima ADUN UMNO yang menyokong Hajiji dijangka tidak dikenakan sebarang tindakan.
Kemelut politik Sabah bermula pada 9 Disember lalu apabila Hajiji dan semua pemimpin Bersatu Sabah, termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti diterajui Muhyiddin Yassin itu.
Berikutan itu kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri dipertikaikan kerana tidak berparti kecuali bernaung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusikan Hajiji.
Bagaimanapun, Hajiji memaklumkan bakal mengetuai parti politik baharu dan telah menjadi kenyataan baru-baru ini apabila memimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat yang juga bernaung di bawah GRS.
