Lebih 24,000 korban gempa Turkiye, Syria

ISTANBUL: Angka kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria kini melebihi 24,000 orang dengan Turkiye, mencatatkan lebih 21,000 mangsa manakala di Syria sahaja, jumlah mangsa maut kini melebihi 3,500 orang.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata gempa kali ini adalah bencana terburuk dalam dekad ini, melepasi angka kematian gempa di Fukushima, Jepun pada tahun 2011 dan di utara Turkiye pada 1999.

Menurut Erdogan, gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye minggu ini adalah tiga kali lebih kuat berbanding gempa bumi Marmara di barat laut negara itu yang berlaku pada 1999.

“Gempa bumi di selatan Turkiye adalah tiga kali lebih kuat dengan kerosakan lebih besar berbanding gempa bumi 1999 yang direkodkan sebagai bencana terbesar dalam sejarah negara,” kata Erdogan yang melihat sendiri misi mencari dan menyelamat di wilayah tenggara Diyarbakir.

Erdogan berkata sekurang-kurangnya 21,043 orang terbunuh dan 80,097 lagi cedera sejak dua gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye melanda pada Isnin.

Manakala mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kawasan gempa dilaporkan seramai 93,000 orang.

Ketika ini, kira-kira 160,000 anggota mencari dan penyelamat termasuk pasukan dari luar negara berada di 10 wilayah dan Erdogan merakamkan penghargaan kepada semua negara yang menunjukkan solidariti dengan menghantar pasukan SAR.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Erdogan sebelum ini berikrar untuk membangunkan semula wilayah yang dilanda gempa bumi dalam rancangan setahunnya.

“Kami merancang untuk membina semula ratusan ribu rumah termasuk infrastruktur dan memulihkan bandar yang rosak akibat gempa bumi.

“Kerajaan telah menggerakkan segala-galanya dan menggesa semua untuk yakin dan percaya bahawa kerajaan tidak akan meninggalkan rakyat hidup di jalanan dalam kesengsaraan atau kemiskinan,” katanya.

Dalam satu hantaran Facebooknya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan dan sukarelawan yang bekerja keras walaupun sejuk, fros, insomnia dan banyak lagi kesukaran.

“Tidak kira betapa hebatnya kesakitan kita, saya percaya dengan sepenuh hati bahawa kita akan mengatasi semua masalah dengan menyokong satu sama lain sebagai sebuah negara,” katanya.

 

(Foto Fb Erdogan)

 

Related posts

Leave a Comment