PUTRAJAYA 11 Feb. – Sebanyak 252 kes baharu Covid-19 termasuk tiga kes import direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 5,039,067.
Menurut data portal KKMNow, daripada jumlah keseluruhan itu, kes tempatan adalah 5,000,427 dan 38,640 kes import.
Dalam tempoh yang sama, sebanyak empat kematian baharu dilaporkan dan jumlah yang meninggal dunia setakat ini adalah 36,950 orang termasuk 7,871 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)
Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam adalah 9,731 berbanding 9,786 kelmarin, dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,392 kes atau 96.5 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 327 pesakit atau 3.4 peratus mendapat rawatan di hospital, 12 daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana lima orang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, 306 pesakit baharu dilaporkan sembuh semalam dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih setakat semalam meningkat kepada 4,992,386 orang.
Sementara itu, kes harian di negeri kekal di bawah 100 dengan Selangor mendahului dengan 85 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 81 termasuk satu kes import, Melaka 16, Sarawak 13, Johor 11 termasuk dua kes import.
Sementara Pulau Pinang 11, Sabah 8, Perak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya masing-masing tujuh kes, egeri Sembilan 6, Kedah 5, Pahang 3 dan Kelantan 2.
Tiada kes baharu dilaporkan di Terengganu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis.
