Malaysia bantu rundingan damai di selatan Thai

BANGKOK 10 Feb. – Malaysia akan membantu sedaya mungkin proses rundingan damai konflik selatan Thailand yang berlarutan sejak sekian lama, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau mengulangi pendirian Malaysia itu ketika berucap di hadapan masyarakat Muslim tempatan, sejurus selesai menunaikan solat Jumaat di Yayasan Pusat Islam Thailand, di sini.

Katanya, Malaysia selaku negara jiran dan rakan kepada Thailand, akan mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan beberapa masalah yang tersangkut, termasuk membabitkan konflik selatan Thailand.

“Insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya meningkatkan hubungan dua hala negara yang berjiran. Sebagai negara jiran dan sahabat kepada Thailand, saya datang dengan semangat sedemikian,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Thailand diterajui Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang menjaga komuniti Islam di negara ini dengan baik.

Ketika perjumpaan bersama pemimpin Islam setempat selepas itu, Anwar turut mengulangi kepentingan untuk memastikan aspek keselamatan kerana tanpanya, kejayaan dan kemajuan sukar dicapai.

Katanya, beliau sendiri ada membangkitkan ketika mesyuarat bersama Prayuth, semalam, bahawa tiada alternatif kepada masalah di selatan Thailand selain daripada keamanan.

“Saya meluangkan banyak masa ketika bersama Perdana Menteri Prayuth, cuba memberikan kefahaman kepada mereka dan memastikan ia dapat diselesaikan secara bijak.

“Kita maklumkan untuk tidak lagi ada perbezaan dan wujudkan perpecahan, sebaliknya mencipta kesefahaman.

“Insya-Allah, kita teruskan usaha ini. Kita juga ada organisasi seperti ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan lain-lain lagi yang mana kita semua bekerja bersama,” katanya.

Ketegangan di Selatan Thailand yang memuncak sejak 2004 sehingga kini dan telah meragut lebih 7,000 nyawa di mana Malaysia merupakan fasilitator kepada proses dialog damai berkenaan.

Related posts

Leave a Comment