KUALA LUMPUR 8 Feb. – Dr. Masliha Harun, seorang doktor perubatan hari ini mengumumkan kesediaannya untuk bertanding bagi jawatan Ketua Puteri UMNO yang kini disandang oleh Datuk Zahida Zarikh Khan.
Exco Puteri itu menyertai tiga calon lain yang sudah menyatakan hasrat secara terbuka bagi merebut jawatan berkenaan selepas Exco, Fadhwa Anuar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan yang juga Ketua Puteri Seputeh.
Dr Masliha yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai berjata, beliau mahu menjadikan sayap itu sebagai ‘pusat sehenti’ atau suara rujukan untuk generasi wanita muda menyuarakan masalah dan pandangan.
Katanya, banyak isu yang boleh diperjuangkan Puteri seperti ibu tunggal yang diabaikan dan tiada pendapatan, selain isu pencabulan dan penderaan kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan, Dr Masliha berkata, jika diberi kepercayaan mengetuai sayap berkenaan, beliau akan menjadikan visi REVU sebagai agenda perjuangan Puteri.
Katanya, REVU merujuk kepada usaha peremajaan (rejuvenation), pemerkasaan (empowerment), suara (voice) dan perpaduan (unity).
“REVU bermaksud peremajaan, pemerkasaan, suara dan perpaduan yang berupaya membawa inspirasi dan kekuatan kepada Puteri UMNO serta parti sendiri.
Politik sekarang ini dinamik. Dulu politik khidmat bakti, sekarang politik baharu. Kita perlu melaksanakan rejuvenasi Puteri dengan menarik penyertaan anak muda kepada UMNO secara lebih agresif,” katanya.
Pengerusi Bertindak Undi 18 Puteri UMNO itu juga berhasrat untuk menambah keahlian Puteri dengan melibatkan semua kumpulan, iaitu mahasiswa, profesional dan wanita muda berumur 18 tahun.
“Visi saya bukan sekadar memperkasakan Puteri, tetapi berani membawa suara anak muda dengan imej lebih yakin dengan memperjuangkan ekonomi, pendidikan dan kepimpinan kumpulan ini,” katanya.
Beliau juga mahu mewujudkan perpaduan dalam parti untuk UMNO bangkit semula, tidak boleh dilihat berpecah dan berpuak.
“Saya mahu satukan hati setiap ahli supaya mencintai parti, perlu hormat organisasi. Kita tidak perlu taksub pemimpin, tetapi taksub kepada parti dan apsirasi yang dibawa.
“Kalau setiap ahli tahu aspirasi dan agenda parti dengan jelas, mereka lebih fokus untuk bersama UMNO. Adalah penting untuk memupuk semangat jati diri dalam kalangan ahli,” katanya.
Bagi tujuan itu, beliau telah menyiapkan pelan induk bagi menarik kumpulan sasaran kepada parti dan akan memastikan perancangan itu dijayakan sepenuhnya.
“Bukan mudah untuk mengetuai sayap parti dalam keadaan UMNO tewas, namun ia adalah cabaran yang perlu dipikul untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat,” katanya yang bergiat sebagai ahli Puteri sejak 2002.
Katanya, walaupun berada dalam era UMNO tidak menjadi kerajaan atau sebagai pembangkang, beliau tetap kekal bersama parti dengan agenda dan aspirasi memperjuangkan bangsa, agama dan negara yang akan sentiasa dihargai oleh rakyat
“ Allah beri kita satu peluang baharu. Sekarang kita kalah lagi (Pilihan Raya Umum Ke-15), (namun) bukan nak dabik dada, (masih) jadi kerajaan. Itu adalah peluang yang dibuka untuk memulihkan parti sedikit demi sedikit,” katanya.
