KUALA LUMPUR 6 Feb. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat untuk keselamatan mangsa dan keluarga mereka susulan tragedi gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria..
Sambil menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada kerajaan Turkiye dan Syria, Seri Paduka juga berharap masjid dan surau mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa yang telah kembali ke rahmatullah.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut menzahirkan ucapan takziah.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam musibah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa ratusan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur.
“Seri Paduka berdua berdukacita atas kehilangan ratusan nyawa dalam tragedi itu serta menzahirkan harapan seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut Istana Negara menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Istana Negara turut memaklumkan, dalam tempoh kesedihan ini, Seri Paduka berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Turkiye dan Syria serta mendoakan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan, serta mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera.
Gempa bumi kuat berukuran 7.4 pada skala Richter dilapor melanda wilayah selatan Turkiye di Kahramanmaras pukul 4.17 pagi Isnin dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan ia berpusat di daerah Pazarcik.
