Polis buka 5 kertas siasatan tipu e-baucar

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kegiatan penipuan tawaran e-baucar atau e-ganjaran yang membabitkan kerugian RM508,261 di seluruh negara.

Setiausaha PDRM Noorsiah Saaduddin berkata siasatan mendapati tawaran melalui aplikasi dalam talian itu diperkenalkan pada 2020 yang membabitkan pembelian barangan dan perkhidmatan menggunakan e-dompet.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata pengguna yang berminat menggunakan aplikasi tersebut perlu memasukkan sejumlah wang dan akan diberikan penjimatan hingga 50 peratus bagi setiap pembelian.

Pengguna juga menerima mata ganjaran yang boleh ditebus menerusi pembelian barangan atau wang tunai yang akan dikreditkan ke dalam akaun.

Kenyataan itu merujuk laporan media mengenai kira-kira 100 laporan polis dibuat membabitkan kerugian hampir RM5 juta berhubung penipuan tawaran baucar atau e-ganjaran yang menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan.

Noorsiah berkata, pada peringkat awal, urus niaga dan penebusan mata ganjaran melalui aplikasi ini berjalan lancar dan masalah mula timbul pada penghujung 2022 apabila pengguna gagal untuk membuat pembelian serta penebusan mata ganjaran.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengeluarkan kenyataan berhubung serbuan terhadap syarikat yang terbabit dengan kegiatan itu yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Related posts

Leave a Comment