MCMC sekat 6,381 laman sesawang judi

SEPANG 6 Feb. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat 6,381 laman sesawang judi dalam talian serta menamatkan perkhidmatan 212,399 talian telefon yang mempromosikan judi dan pinjaman tidak berlesen.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, sekatan dan penamatan perkhidmatan itu dibuat sejak 2020 hingga 2022.

Menurut MCMC, sekatan terhadap laman sesawang berkaitan judi atas talian dibuat susulan permohonan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), terhadap kesalahan mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

Penamatan perkhidmatan talian telefon, membabitkan talian tetap dan mudah alih, yang menghantar spam teks pesanan ringkas (SMS) meragukan seperti mempromosikan judi, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain.

MCMC menegaskan, pihaknya sentiasa komited menyokong tindakan penguatkuasaan PDRM dalam usaha untuk membanteras kegiatan judi dalam talian.

Dalam hal ini, katanya, PDRM menjalankan tindakan dan penguatkuasaan, manakala MCMC berperanan memberi bantuan teknikal, termasuk membekalkan maklumat dan menyekat laman sesawang berunsur perjudian berdasarkan permohonan daripada PDRM.

Selain tindakan penguatkuasaan, MCMC juga mengingatkan mengenai kawalan kendiri dan pendidikan sebagai kunci dalam usaha membanteras perjudian dalam talian.

Katanya, pengguna boleh memainkan peranan untuk menyekat aktiviti promosi judi dalam talian dan aplikasi serta media sosial dengan membuat laporan kepada MCMC dan pengendali aplikasi serta akaun media sosial terbabit.

Related posts

Leave a Comment