KUALA LUMPUR 3 Feb. – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggariskan lima syor kepada Kerajaan Perpaduan sebagai mengiktiraf pembentukan Kabinet bayangan oleh pakatan pembangkang, Perikatan Nasional (PN).
Syor berkenaan perlu diterima positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seiring dengan slogan Malaysia Madani di samping mengukuhkan kestabilan politik dan menghapuskan kebimbangan berlaku Langkah Sheraton 2.0
BERSIH dalam satu kenyataan hari ini berkata, lima syor yang dicadangkan adalah
1. Majlis angkat sumpah untuk menteri-menteri bayangan di Istana Negara sebagai Pembangkang Setia Yang di-Pertuan Agong.
2. Elaun kepada menteri bayangan iaitu satu pertiga daripada gaji menteri, mencontohi sistem di Australia;
3. Peruntukan seorang pegawai penyelidik yang bergaji untuk setiap menteri bayangan dengan kelulusan yang berkaitan dengan portforlio menteri bayangan;
4. Akses maklumat kerajaan yang bersesuaian kepada kabinet dan menteri-menteri bayangan untuk penghasilan polisi yang realistik
5. Penambahbaikan struktur penentuan jadual dan urusan aturan mesyuarat di Dewan Rakyat melalui perundingan bersama Ketua Pembangkang atau wakil daripada Kabinet bayangan
BERSIH juga berharap, Kabinet bayangan PN akan membuat kunjungan hormat kepada Kabinet sebelum Parlimen bersidang sebagai tanda permulaan persaingan antara parti yang madani.
Kerajaan Perpaduan yang memposisikan dirinya sebagai reformis harus mengiktiraf pembentukan kabinet bayangan ini secara rasmi di Parlimen dengan sebuah undang-undang yang menggariskan fungsi, hak dan kemudahan untuk Kabinet bayangan.
“Ia supaya dapat melakukan semak dan imbang yang mantap dan profesional, bukan emosional dan populis terhadap kerajaan,” kata kenyataan itu.
BERSIH berharap dengan pembentukan dan pengiktirafan rasmi Kabinet bayangan, mutu perbahasan dan pemantauan di Parlimen dan persaingan dasar secara amnya antara Kerajaan dan Pembangkang akan dipertingkatkan dan memanfaatkan rakyat yang muak dengan perbalahan antara politik yang tidak profesional dan toksik.
