DUN Negeri Sembilan bubar Jun

SEREMBAN 2 Feb. –  Negeri Sembilan bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri  (PRN), kata  Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan datang dan terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh PRN di Negeri Sembilan serta lima lagi negeri lain.

“Pembubaran DUN pada tarikh berkenaan paling sesuai kerana akhir Mei adalah tempoh akhir (DUN Negeri Sembilan)…jadi selepas Mei atau Jun, ok tiada masalah.

Mungkin kita (Negeri Sembilan) lebih awal seminggu dua (bubar DUN), itu adalah sesuai. Bermakna kita akan bersama (dengan negeri lain) mengadakan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tahun Baharu Cina 2023 Bersama Sunrise MCL Land di Pejabat Sunrise MCL Land, Forest Height, Senawang, di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR, berkata setakat ini pihaknya tidak dihubungi menteri besar atau ketua menteri dari lima lagi negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, mengenai penetapan tarikh PRN berkenaan.

“Kita akan hadir mesyuarat menteri-menteri besar hujung bulan ini, jadi kita akan bincang secara tidak formal apabila semua bertemu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menjangkakan pembubaran DUN di negeri itu selepas pertengahan Jun depan dengan mengambil kira beberapa faktor.

Ini termasuk sambutan Ramadan, Aidilfitri, tempoh ibadat haji serta Aidiladha dan Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah, yang menyebabkan pihaknya berpandangan DUN Kedah tidak sesuai dibubarkan ketika ini.

Selain Negeri Sembilan dan Kedah, empat negeri lagi yang perlu mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu,

(FOTO FB ADUN Bahau Teo Kok Seong)

Related posts

Leave a Comment