PM mulakan lawatan ke Singapura

SINGAPURA 30 Jan. – Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim tiba di sini, hari ini untuk lawatan rasmi ke Singapura.

Anwar diiringi isteri,  Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk lawatan rasmi ketiganya ke luar negara sejak dilantik sebagai perdana menteri.

Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri mendarat di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 9.40 pagi.

Ketibaan beliau disambut Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Yang turut hadir, Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri,  Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Beliau kemudiannya ke Istana bagi mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura Halimah Yacob dan bertemu Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Anwar diberikan sambutan rasmi oleh PM Lee di Ceremonial Plaza, The Istana.
Pada kunjungan itu juga, Anwar diberi penghargaan oleh PM Lee yang menamakan spesies orkid hibrid atas nama ‘Dendrobium Anwar Azizah’ sempena kunjungan rasmi ke Singapura.

Delegasi Malaysia juga terdiri daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi
Mohamed Fadzil serta pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.

Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor,  Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi itu.

Related posts

Leave a Comment