UMNO perlu reformasi pulih keyakinan

GUA MUSANG: Bagi meraih semula keyakinan rakyat selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO perlu menjalani reformasi bagi mengubah imej parti, kata veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata UMNO perlu mengubah imej parti dengan mengambil kira pelbagai perkara yang tidak baik berlaku dalam parti itu yang mencerminkan suasana yang tidak manis di mata umum.

“Kita kena bangkit sebagai sebuah parti yang kuat. Tidak menumpang orang untuk mendapat sedikit sebanyak pengaruh ataupun kuasa. Kita parti yang mewakili majoriti rakyat Malaysia sebagai parti orang Melayu.

“Takkanlah kita berharap supaya kita duduk sebagai penumpang dan hanya mengharap kepada sedikit jawatan yang tidak memberi makna kepada kita,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini, semalam.

Mutakhir ini UMNO dilihat bergelora dengan pelbagai isu yang timbul sehingga mencerminkan parti itu dilanda perpecahan termasuk kemelut berkaitan dua jawatan tertinggi parti yang tidak dipertandingkan serta pemecatan dan penggantungan ahli.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li bagaimanapun positif bahawa UMNO mampu mencorakkan kembali kedudukan negara sekiranya berani untuk melakukan reformasi.

“Kita mahu mencorakkan kedudukan negara ini. Terutama sekali bagi pihak majoriti rakyat negara ini yang mahu kita menentukan hala tuju untuk masa depan negara,” katanya.

Sementara itu pada majlis berasingan Ku Li berkata UMNO Gua Musang percaya tindakan parti terhadap beberapa ahli yang dipecat dan digantung keahlian mereka adalah berlandaskan kepada penelitian pihak bertanggungjawab termasuk jawatankuasa disiplin.

“Saya percaya benda ni sudah pun diteliti dengan cermat oleh pihak yang bertanggungjawab termasuk jawatankuasa disiplin.

“Setiap parti ada disiplin. Seseorang yang tidak ikut tatacara dan cara kerja serta susunan organisasi akan dikenakan disiplin bagi memastikan parti berjalan dengan baik.

“Apatah lagi dalam keadaan sekarang usaha dijalankan untuk menstabilkan keadaan politik,” katanya ketika ditemui di Bukit Chekati di sini.

Beliau berkata tindakan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi itu juga wajar kerana sudah menjadi tanggungjawab seorang ketua untuk memantau perjalanan parti dan pemimpin daripada parti itu.

Ketua parti akan mengawasi perjalanan parti dan tingkah laku pemimpin sama ada yang menjalankan tugas biasa dan ada yang mempunyai minat untuk mencabar jawatan tertentu, sampai ke peringkat tinggi pun.

“Jadi kalau berlaku tindakan seperti yang diumum semalam (kelmarin) tak hairanlah kita. Jika tidak berpuas hati bolehlah buat rayuan. Ini perkara biasa dalam parti politik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment